300 jemaah Malaysia bingung gagal dapat kebenaran tunai haji
PUTRAJAYA: Kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah, kini dalam kebingungan apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka, gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.
Memetik laporan Berita Harian, bakal haji terbabit menyedari diperdaya selepas mendapati pakej haji yang murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadat itu.
Menerusi hantaran di Facebook Forum Umrah DIY, seorang pengguna dikenali Zhyema Zhyedee, mendakwa dihubungi rakannya yang berada dalam kelompok terbabit dan kini berada di Makkah, bagi mendapatkan bantuan selepas menyedari diperdaya agensi berkenaan.
Zhyema berkata, rakannya dimaklumkan agensi pelancongan terbabit menjanjikan untuk memberi gelang kebenaran mengerjakan haji, namun masih gagal berbuat demikian sehingga hari ini.
Beliau mendakwa, rakan itu juga memberitahu agensi terbabit turut mengarahkan jemaah berkenaan agar tidak keluar dari hotel, dikhuatiri ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Makkah sebelum ini, saya juga sudah menasihatinya supaya berhati-hati dengan syarikat yang menawarkan khidmat haji dengan bayaran murah kerana banyak yang dia tidak tahu mengenai selok-belok pengurusan perkhidmatan agensi haji.
“Pihak agensi mengenakan bayaran RM45,000 bagi setiap individu dan ketika di KLIA, baharulah dia perasaan seolah-olah ditipu selepas diberikan visa pelancong untuk mengerjakan haji,” katanya dalam hantaran di forum Facebook berkenaan.
Perkongsian yang dimuat naik di laman forum Facebook kira-kira lima jam lalu itu menerima lebih 200 komen daripada pengguna laman sosial yang memberi nasihat serta saranan agar mereka yang terbabit pulang ke Malaysia bagi mengelak tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum ini mengumumkan 15 Mei ini adalah hari terakhir bagi tamat tempoh visa umrah untuk jemaah yang datang dari luar Arab Saudi.
Kementerian itu berkata, tarikh tamat tempoh visa yang diawalkan dari 29 (7 Jun) ke 15 Zukaedah (24 Mei) itu bertujuan bagi melancarkan perjalanan jemaah haji dari seluruh dunia ke kota suci Makkah dan Madinah untuk ibadah haji tahun ini.
Menerusi infografik dikongsi di platform X sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut mengumumkan pelaksanaan penalti berjumlah 10,000 riyal (RM12,641) jika melanggar peraturan seperti larangan memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji 2024.
Tujuh kawasan ditetapkan itu ialah Makkah, wilayah Tengah, Masayir, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.
Penalti itu akan dikenakan terhadap kesemua individu termasuk warga tempatan manakala rakyat asing yang ditahan akan dihantar pulang dan dilarang memasuki Riyadh untuk tempoh yang ditetapkan di bawah peraturan tersebut.
Difahamkan, pelanggaran peraturan itu boleh membawa kepada hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga 50,000 riyal (RM63,096).