Isu Disiplin Petugas, Kelemahan Logistik Bayangi Kemeriahan MAHA 2026
SERDANG — Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) terpalit dengan siri kritikan berikutan kelemahan pengurusan lapangan serta jurang disiplin petugas yang mencetuskan keresahan awam.
Di sebalik kejayaan mempamerkan pelbagai inovasi agrotek dan memacu pemeteraian perjanjian perniagaan ke perniagaan (B2B) berimpak tinggi, pengalaman orang ramai di tapak pameran terjejas akibat kualiti pelaksanaan akar umbi yang mengecewakan.
Tinjauan VOM di lokasi mendapati kawalan lalu lintas berada pada tahap menyedihkan ekoran ketiadaan petugas di persimpangan utama menjelang petang dan malam, lalu menyebabkan pergerakan kenderaan urusetia, buggy, bas dan pejalan kaki bersesak-sesak di jalan raya khususnya di District 2 (Laman Perikanan) serta District 4 (Laman Veterinar, Laman Nanas).
Keadaan pergerakan pengunjung bertambah meruncing berikutan kegagalan pihak penganjur menyediakan papan tanda arah yang sistematik di simpang-simpang kritikal, lantas memaksa orang ramai berjalan di atas rumput tanpa trek termasuk memberi laluan kepada kenderaan lalu-lalang.
Suasana di dalam kawasan pameran menjadi kian celaru apabila kenderaan petugas sendiri diletakkan secara merata-rata dan sesuka hati, seterusnya mencacatkan pemandangan serta menghalang laluan awam.
Imej berprestij penganjuran turut tercalar berikutan sikap culas sesetengah kru bertugas yang merokok secara terbuka di kawasan tumpuan awam tanpa menghiraukan keselesaan mahupun kesihatan pengunjung lain.
Kualiti perkhidmatan penganjur juga dipersoalkan selepas penulis menyaksikan beberapa insiden pemandu van pengangkutan khas orang kurang upaya (OKU) menegur pengunjung secara tidak berhemah, sekali gus mempamerkan kelemahan ketara penganjur dalam membekalkan kru dengan latihan komunikasi yang relevan.
Aspek keselamatan di perkarangan pameran seolah-olah dikesampingkan apabila kebanyakan petugas dengan sewenang-wenangnya menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar serta melawan arus sewaktu menjalankan tugas di laluan awam.
Isu kecekapan tenaga kerja terus menjadi pertikaian apabila segelintir petugas dilihat menunggang motosikal secara berkumpulan seolah-olah makan angin di kawasan pameran sewaktu waktu puncak, sekali gus mempamerkan kerapuhan pemantauan dan penyeliaan pihak sekretariat.
Himpunan pelbagai kelemahan logistik dan kepincangan etika kerja di lapangan ini secara tidak langsung menjejaskan imej berprestij acara peringkat antarabangsa itu di mata masyarakat tempatan mahu pun antarabangsa.
Sehubungan itu, pihak sekretariat induk dan kementerian berkaitan didesak mengambil tindakan tatatertib serta-merta ke atas petugas bermasalah demi merapatkan jurang kredibiliti serta menyelamatkan reputasi penganjuran acara terunggul negara ini.