PM ulangi gesa AS hentikan keganasan Israel di Gaza
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaannya supaya Amerika Syarikat (AS) melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menghentikan keganasan Israel di Gaza.
Dalam satu temu bual bersama Al Jazeera, Anwar menegaskan bahawa kuasa besar itu mempunyai keupayaan untuk melakukannya.
“AS harus melakukan apa sahaja yang perlu untuk menghentikan keganasan…mereka mempunyai pengaruh, mekanisme dan kemahiran diplomatik, semuanya digabungkan untuk dapat memaksa Israel menghentikan (kekejaman),” katanya pada program Talk To Al Jazeera.
Anwar berkata, AS dan kebanyakan negara di Barat, seperti agak hipokrit tentang apa yang mereka perkatakan mengenai hak asasi manusia dan demokrasi, dengan sikap bertolak ansur terhadap kekejaman yang berterusan kepada penduduk yang tidak bersalah di Gaza.
Menjawab pertanyaan Sami Zeidan sama ada beliau bersetuju bahawa Israel melakukan genosid di Gaza, Anwar berkata, berdasarkan kepada jumlah kematian dan tahap kemusnahan, dengan keadaan kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berpeluang untuk meneruskan hidup, tiada istilah lain yang boleh digunakan lagi.
“Tiada seorang pun yang waras boleh menafikan hakikat bahawa ia sama ada penghapusan etnik atau apartheid atau genosid. Jelas sekali, itu yang berlaku,” katanya.
Anwar mengakui, beliau kecewa dengan respons AS terhadap rayuan Malaysia itu dan menyatakan bahawa beliau tidak lagi sanggup untuk melihat kekejaman dilakukan setiap hari terhadap wanita dan kanak-kanak.
“Saya telah merayu kepada Amerika Syarikat, di hadapan Presiden Joe Biden, yang telah mendengar dengan penuh perhatian terhadap luahan dan permintaan saya,” katanya.