The powerful Online News portal

TOURISM MALAYSIA ANJUR LIBAT URUS INDUSTRI PELANCONGAN PULAU PINANG BAGI TMM2026

236

PULAU PINANG, 5 Mei 2025 – Tourism Malaysia terus mempergiat usaha
memperkukuh ekosistem pelancongan negara melalui sesi libat urus bersama para
pemain industri yang diadakan hari ini di Iconic Marjorie Hotel, Bayan Lepas, Pulau
Pinang, sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Merupakan siri kesebelas daripada rangkaian sesi libat urus yang telah diadakan di
beberapa negeri sebelum ini, program kali ini memberi tumpuan kepada penyelarasan
strategi promosi serta memperkukuh kerjasama merentas sektor bagi memastikan
penyertaan aktif daripada pihak industri dalam menjayakan TMM2026.

 

 

Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism
Malaysia, dengan kehadiran YB Tuan Wong Hon Wai, Pengerusi Jawatankuasa
Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, serta Encik Shahrin Mokhtar,
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, bersama barisan wakil
agensi kerajaan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk
pelancongan dan pemain industri tempatan.

YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin berkata, tema kempen TMM2026, Malaysia: Destinasi
Lestari dan Kaya Budaya mencerminkan komitmen negara dalam mengekalkan daya
tarikan pelancongan yang mesra alam dan berteraskan budaya.

“Pulau Pinang memiliki keistimewaan tersendiri sebagai destinasi pelancongan dengan
nilai sejarah, budaya dan komuniti majmuk yang saling melengkapi. Pengiktirafan
sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO turut memperkukuh kedudukannya sebagai
antara destinasi tumpuan bagi pelancongan berasaskan budaya dan kelestarian
menjelang TMM2026,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta di Pulau Pinang diyakini
mampu memperkukuh lagi ekosistem pelancongan negeri, khususnya dalam
memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan baharu, memperluas capaian
pasaran, serta meningkatkan kemudahan dan kualiti perkhidmatan pelancongan ke
arah pengalaman pelawat yang lebih bermakna dan berkualiti.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga komited dalam mempertingkatkan prasarana
pelancongan, di samping menyokong inisiatif pelancongan hijau dan digital yang
inklusif. Usaha ini merangkumi program pemuliharaan warisan serta penganjuran
pelbagai acara kebudayaan berimpak tinggi yang mampu menarik minat pelancong
dari dalam dan luar negara.

Dengan sokongan padu daripada semua pihak, Pulau Pinang bersedia memainkan
peranan penting dalam menjayakan TMM2026, sekali gus memperkukuhkan
kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul yang lestari dan berdaya
saing di peringkat antarabangsa.

You might also like