Keselamatan negara ditahap terbaik walau terdapat insiden serangan
KUALA LUMPUR – Walaupun terdapat beberapa insiden yang kurang ‘enak’ berlaku di dalam negara antaranya serangan dan ancaman terhadap balai polis serta lokasi sensitif baru-baru ini, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan aspek keselamatan negara yang kini berada pada tahap terbaik.
Situasi ini sudah tentu adalah hasil kecekapan pasukan keselamatan negara sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia apabila menduduki tangga ke-19 Indeks Keamanan Dunia dengan 1.513 mata daripada 163 negara di dunia.
Ini sekali gus meletakkan negara di tempat kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara di belakang Singapura yang berada di tempat pertama dan keenam di dunia.
Tidak hairanlah, keamanan dan kemakmuran negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama terus menjadi tarikan utama pelancong untuk melihat sendiri keunikan yang terdapat di negara ini dengan rekod kedatangan pelancong sebanyak 5.8 juta untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Keyakinan pelancong untuk kekal memilih Malaysia sebagai detinasi percutian dijangka berterusan malah penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, tanggapan keselamatan negara pada tahap membimbangkan susulan insiden tersebut tidak seharusnya timbul kerana ia tidak dilakukan oleh kumpulan terancang.
“Mengambil contoh kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram Johor pada Jumaat lepas yang mengorbankan dua anggota polis telah disahkan dilakukan secara bersendirian oleh suspek, manakala cubaan menceroboh Istana Negara dan cubaan merampas senjata api daripada anggota polis yang mengawal Balai Polis Jalan Dato Keramat di Pulau Pinang dilakukan oleh individu yang langsung tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
“Malah (dalam kes) suspek yang cuba merampas senjata api di Pulau Pinang itu dilakukan oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, masyarakat perlu menaruh keyakinan dengan kecekapan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan insiden berkenaan serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan keselamatan negara yang diperoleh melalui media sosial dan sumber tidak sah.
Jelasnya, maklumat-maklumat yang tidak sah dan spekulasi inilah sebenarnya yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat dan pelancong terhadap keselamatan negara walaupun situasi sebenarnya tidak sebegitu.
Oleh itu katanya, orang ramai dan pelancong tidak perlu takut untuk menjalankan aktiviti harian atau berkunjung ke lokasi tumpuan ramai kerana pihak berkuasa sentiasa berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi dalam menjalankan tugas mereka.
Jumaat lepas, dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, terkorban manakala seorang lagi cedera selepas diserang seorang penceroboh di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Pada Jumaat lepas juga, dua lelaki berumur 29 dan 37 tahun yang menaiki kereta Perodua Kembara ditahan di Pintu 3 Istana Negara kerana cuba menceroboh, manakala Ahad lepas polis mengesahkan menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung sepucuk surat amaran dan ugutan yang diterima.