KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tidak membuat andaian bahawa kawasan yang menjadi tumpuan warga asing adalah lokasi pendatang asing tanpa izin (PATI), kerana ia boleh menimbulkan persepsi salah terhadap penguatkuasaan imigresen.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, kawasan seperti pusat beli-belah dan pusat perniagaan sememangnya menjadi tempat perhimpunan warga asing yang memiliki dokumen sah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati hanya sebilangan kecil yang ditahan atas kesalahan tiada dokumen atau tinggal lebih masa.
“Tidak wajar melabel setiap kawasan yang dipenuhi warga asing sebagai lubuk PATI,” katanya selepas operasi penguatkuasaan di dua pusat beli-belah di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, JIM menjalankan 13,910 operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 239,326 individu, dengan 92,360 PATI dan 2,163 majikan ditahan.
Bagi tahun ini sehingga 15 Januari, sebanyak 504 operasi dijalankan dengan 1,759 PATI serta 35 majikan ditahan.
Orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan warga asing tanpa dokumen, salah guna permit dan majikan yang menggaji pekerja asing secara haram.